TARIQAT CHISHTIYAH


TARIQAT CHISHTIYAH

PENDIRI Tariqat Chishtiyah adalah Hadhrat Maulana Khwajah Mu’inuddin Hassan Chishti As-Sanjari Al-Ajmeri Rahmatullah ‘alaih. Beliau telah dilahirkan pada tahun 536 Hijrah bersamaan 1141 Masihi, di sebuah tempat yang bernama Sanjar di Sijistan, Parsi yang sekarang ini adalah Iran. Beliau keturunan Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam. Dia merupakan seorang Sayyid Hassani dan Hussaini. Bapaknya keturunan dari Hadhrat Sayyidina Imam Hussain Radhiyallahu ‘Anhu dan ibunya keturunan dari Hadhrat Sayyidina Imam Hassan Radhiyallahu ‘Anhu.
Dia dibesarkan di Khurasan dan memperoleh pengajian ilmu-ilmu Agama dari bapaknya yang bernama Hadhrat Sayyid Ghiyatsuddin Rahmatullah ‘alaih dan semenjak dia berusia 9 tahun, dia telah menghafal Al-Quran. Hadhrat Khwajah Mu’inuddin Rahmatullah ‘alaihi juga masyhur dengan gelaran Gharib Nawaz yang berarti pembantu orang-orang miskin dan merupakan seorang Mujaddid dalam Silsilah Chishtiyah.
Silsilah ini amat terkenal di Tanah Hindi dan terbit dari nama Chisht, yaitu sebuah kampung berdekatan Herat,Afghanistan di mana pendiri asalnya yaitu Hadhrat Khwajah Abu Ishaq Asy-Syami Rahmatullah ‘alaih tinggal menetap.Beliau berasal dari Negeri Syam dan telah membawa Tariqat ini ke Chisht. Beliau wafat pada tahun 941 Masihi.
Hadhrat Maulana Khwajah Mu’inuddin HassanChishti Rahmatullah ‘alaih telah mengambil Bai’ah Silsilah‘Aliyah Chishtiyah dari gurunya Hadhrat Maulana Khwajah‘Utsman Haruni Rahmatullah ‘alaih. Beliau telah berkhidmat kepada gurunya selama dua puluh tahun. Beliau telah mengungkapkan kisah Bai’ahnya dengan gurunya yang berlaku pada tahun 561 Hijriyah di India seperti berikut: “Daku telah diberikah penghormatan untuk tampil dihadapan Syeikhku, Hadhrat ‘Utsman, dalam kehadiran orang-orang yang masyhur. aku menundukkan kepalaku dengan penghormatan yang bersungguh-sungguh.Hadhrat ‘Utsman menyuruhku bersolat dua raka’at, akupun melaksanakannya. Beliau kemudiannya mengarahkanku agar mengadap Ka’abah di Mekkah, aku pun melakukannya. Kemudian beliau menyuruhku membaca Al-Quran Surah Al-Baqarah, aku pun membacanya.
Kemudian beliau menyuruhku mengucapkan Selawat dan Salam ke atas Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu‘Alaihi Wasallam dan ke atas ahli keluarganya ‘Alaihissalam sebanyak 21 kali dan mengucapkan Subhanallah sebanyak 60 kali, daku pun melakukannya. Kemudian, beliau bangun dan mengambil tanganku dalam gengamannya dan memandang ke arah langit seraya berkata,“Biar aku persembahkan kamu kepada Allah.”
Kemudian beliau memotong rambutku dengan sebilah gunting dan meletakkan satu kopiah yang khas atas kepalaku dan menyuruhku duduk. Beliau kemudian menyuruhku mengulangi pembacaan Surah Al-Ikhlas sebanyak 1000 kali, daku pun melakukannya.
Kemudian beliau telah berkata,“Di kalangan para pengikut kita, hanya terdapat Mujahadah selama sehari semalam, maka pergilah melakukannya pada hari ini.”
Beliau telah menyuruh aku supaya duduk dan sekali lagi membaca Surah Al-Ikhlas sebanyak 1000 kali, aku pun melakukannya. Kemudian beliau telah memberikan arahan kepadaku,“Pandanglah ke arah langit.”
Apabila aku mengangkatkan mataku ke arah langit, beliau bertanya,“Berapa jauhkah yang dapat kau lihat?” aku berkata,“Jauh ke atas sehingga ke ‘Arash Mu’alla.”
Kemudian beliau berkata,“Pandang ke bawah. ”aku pun lakukan, lalu beliau bertanya sekali lagi, “Berapa jauh yang dapat kau lihat?”
aku berkata,“Jauh ke bawah sehingga ke Tahta Tsara di bawah tanah.”
Kemudian beliau menyuruhku duduk membaca Surah Al-Ikhlas sebanyak 1000 kali, aku pun melakukannya.
Kemudian beliau berkata,“Pandanglah ke arah langit.”Apabila aku memandang ke langit, beliau telah bertanya kepadaku,“Berapa jauhkah yang dapat kau lihat sekarang?”
aku berkata,“Jauh ke atas sehingga ke ‘Azmat Keagungan.”Kemudian beliau berkata,“Tutuplah matamu.”
aku pun melakukannya dan setelah beberapa ketika beliau pun berkata,“Bukakan matamu.”
aku pun melakukannya. Kemudian beliau menghubungkan dua jari pertama di tangan kanannya dan bertanya,“Apa yang dapat kamu lihat menerusinya?”
aku berkata,“aku melihat delapan belas ribu alam.”
Apabila beliau mendengarkan ini, beliau pun berkata,“Sekarang urusan kamu sudah selesai.”
Kemudian beliau memandang ke arah seketul batuyang berhampiran dan menyuruhku mengangkatnya,Apabila daku melakukannya, aku dapati beberapa uang emas berada di bawahnya. Beliau kemudian menyuruhku supaya pergi dan membagi-bagikannya di kalangan faqir miskin, yang mana aku pun segera melaksanakannya.Kemudian beliau telah meyuruhku untuk duduk bersamanya untuk beberapa waktu.”
Terdapat 9 prinsip utama di dalam Tariqat Chishtiyah yaitu:
  1. Mentaati Syeikh.
  2.  Meninggalkan kehidupan Duniawi.
  3.  Menjauhi segala kuasa keduniaan.
  4.  Sama’ (Muzik Zikir).
  5.  Memperbanyakkan Solat dan Puasa.
  6.  Tidak mengharapkan sesuatu dari orang lain.
  7.  Mengenepikan perkara-perkara luar biasa.
  8.  Berkhidmat kepada manusia lain.
  9.  Menghormati ahli Tariqat yang lain.
Dalam khutbah terakhir Hadhrat Khwajah Mu’inuddin Chishti Rahmatullah ‘alaih yang disampaikan kepada para pengikutnya sebulan sebelum beliau menghembus nafas sucinya yang terakhir, beliau telah berkata:
Cintailah semua dan jangan membenci siapapun, Hanya berbicara tentang keimanan tidaklah berfaedah bagimu, Hanya berbicara tentang Tuhan dan Agama tidak akan membawa kamu jauh, Keluarkan segala kekuatan yang terpendam pada kejadian dirimu,Dan tampilkan dengan sepenuh kecemerlangan Ruh dirimu yang kekal, Penuhkan dirimu dengan keimanan dan kegembiraan,
Dan taburkanlah ia walau dimana saja kamu berada, Dan walau ke mana juga kamu pergi, Jadilah seperti api kebenaran yang membakar, Jadilah seperti bunga-bunga cinta yang indah,
Dan jadilah seperti ubat penenang keimanan.
Dengan cahaya Ruhaniahmu,Usirlah kegelapan kejahilan, Larutkanlah awan-awan perselisihan dan peperangan,Dan sebarkanlah kehendak yang baik,keimanan dan keselarasan di kalangan sesama insan. 
Jangan meminta sebarang pertolongan,kemurahan dan kebaikan hati dari siapa pun kecuali Allah. 
Jangan pergi ke istana Para Raja,Tetapi jangan menolak untuk mendoakan dan menolong orang yang memerlukan dan yang miskin, para janda dan anak-anak yatim, sekiranya mereka datang ke pintumu. 
Inilah maksudmu untuk berkhidmat kepada manusia, Pikullah ia dengan penuh tanggungjawab dan berani,Supaya aku sebagai Guru Murshid tidak menerima malu terhadap  kekurangan pada pihakmu,Di hadapan Allah ‘Azza Wa Jalla dan Para Masyaikh yang terdahulu dalam Silsilah Sufiyah pada Hari Pengadilan kelak.
Hadhrat Khwajah Mu’inuddin Chishti Rahmatullah‘alaih telah membawa Silsilah ini ke Tanah Hindi padapenghujung abad ke 11 Masihi dan menjadikan Ajmer sebagai pusat kegiatannya. Tariqat beliau telah berkembang dengan pesat di India menerusi Khalifah-khalifahnya seperti Hadhrat Khwajah Qutbuddin Bakhtiar Kaki Rahmatullah‘alaih, Hadhrat Baba Fariduddin Mas’ud Ganj Shakar Rahmatullah ‘alaih, Hadhrat Khwajah Nizamuddin Auliya Rahmatullah ‘alaih dan Hadhrat Khwajah ‘Alauddin ‘AliAhmad Sabir Kalyari Rahmatullah ‘alaih.Menerusi Hadhrat Khwajah Nizamuddin Auliya Rahmatullah ‘alaih dan Hadhrat Khwajah ‘Alauddin ‘AliAhmad Sabir Rahmatullah ‘alaih telah berkembang dua aliran Tariqat Chishtiyah di India yaitu Chishtiyah Nizamiyah dan Chishtiyah Sabiriyah.

Tinggalkan komentar